JOHOR BAHRU, 17 April 2023: Johor Plantations Berhad (Johor Plantations), anak syarikat Kulim (Malaysia) Berhad, telah menyampaikan bantuan pasca banjir untuk komuniti di Johor dengan jumlah sumbangan sebanyak RM50,000 kepada Waqaf An-Nur Corporation Berhad (WanCorp) bagi Tabung Sumbangan Pasca Banjir Negeri Johor.
WanCorp memainkan peranan penting dalam menggerakkan sumbernya untuk membantu rakyat Johor yang terjejas dengan membantu mengurangkan kesan banjir melalui operasi menyelamat dan menghantar bantuan, penyediaan bekalan makanan, tempat tinggal dan keperluan asas bagi mangsa. Wancorp kini memberi perhatian kepada aktiviti bantuan pasca banjir kepada rakyat Johor yang terjejas baru-baru ini melalui usaha pembersihan, membaikpulih rumah, dan pembaikan infrastruktur awam termasuk sekolah dan pusat komuniti.
Mohd Faris Adli Shukery, Pengarah Urusan Johor Plantations, berkata, “Banjir kekal sebagai salah satu cabaran besar bagi masyarakat kita. Kemusnahan akibat kerosakan harta benda telah menyebabkan ramai kehilangan tempat tinggal dan menghadapi kerugian. Sasaran kami adalah untuk meringankan beban bagi keluarga yang terjejas dan memberikan sokongan sementara pulih daripada kesan banjir. Kami berharap sumbangan ini akan memberi kesan yang bermakna dalam membantu mereka untuk bangkit semula.”
Penyerahan sumbangan berlangsung semasa majlis berbuka puasa anjuran Johor Plantations di Persatuan Kebajikan Darul Hanan (Darul Hanan) di Pasir Gudang. Darul Hanan merupakan sebuah pusat jagaan anak-anak yatim dan golongan kurang bernasib baik.